Adakah anda telah mengabaikan cinta?

Cinta itu satu anugerah yang dikurniakan tuhan kepada kita semua. Satu anugerah terindah yang hanya dirasai oleh orang yang masih lembut hatinya. Semua orang akan merasai cinta, tetapi tidak semua yang tahu menghargai cinta, terutama cinta terhadap ibu dan bapa. 



Ketika sesetengah daripada kita sibuk menghabiskan masa remaja keluar berseronok dengan kawan-kawan, dan teman istimewa, kita terlupa bahawa cinta terhadap kedua ibu bapa kita telah terabai. Tanggungjawab kita terhadap kedua ibu bapa juga tidak diendahkan. Sedangkan tanggungjawab seorang anak terutama anak lelaki terhadap ibu bapanya adalah wajib disisi Islam.
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)." (Surah Al-Ahqaaf, ayat 15)


Kadang-kadang apabila saya terima email daripada pembaca, saya lihat terlalu banyak soalan-soalan yang melibatkan putus cinta. Bukan tidak suka, tapi saya lihat kisahnya lebih kurang sama. Tidakkah kita muhasabah diri terlebih dahulu dan tanya pada diri sendiri apa yang cuba ditunjukkan Allah pada kita. Mungkin disebabkan kita tak dapat keredhaan dari Allah?


Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: 

"Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa."-Riwayat al-Hakim

Cinta itu tidak salah, begitu juga bercinta, tetapi ada adab-adabnya. Untuk mencari cinta yang diredhai Allah, dapatkanlah redha Allah itu dulu. Untuk mendapatkan redha Allah, maka berbaktilah kepada kedua ibu bapa. Anda harus tahu dimana keutamaan cinta dan bagaimana anda menguruskan rasa cinta. Bagi saya cinta itu dibahagi kepada 5 bahagian. Yang pertama, cinta terhadap Allah dan Rasulullah. Yang kedua, cinta terhadap kedua ibu bapa. Yang ketiga, cinta terhadap keluarga. Yang keempat, cinta terhadap rakan-rakan dan yang terakhir sekali barulah cinta terhadap teman istimewa kita tu.


Jika ditanya pada prinsip hidup saya, ianya "Family Comes First". Tidak kira sesibuk macam mana pun saya, tidak kiralah jika kedua ibu bapa mahupun adik beradik memerlukan saya, segala kerja akan saya ketepikan dan saya sentiasa mengutamakan keluarga berbanding kerjaya kerana saya terlalu sayangkan kedua ibu bapa saya. Saya tidak pernah dapat membayangkan jika suatu hari nanti, ibu dan bapa yang pernah merotan kerana kenakalan saya, tidak ada lagi didunia. 


Dapatkah anda pula membayangkan situasi yang sama? Bagaimana kalau ketika itu kita belum sempat menunjukkan kepada mereka bahawa kita sayang mereka dan tidak sempat untuk menunjukkan bahawa anda mampu membanggakan mereka? Ingatlah, 'what comes around goes around'. Apa yang kita buat pada masa ini, anak-anak kita akan balas perkara yang sama kepada kita.


Apabila anda sudah berkahwin, maka semakin kurang anda dapat bersama ibu dan ayah serta adik beradik yang lain. Anda mungkin terpaksa tinggal bersama suami/isteri anda di daerah lain. Tetapi beruntunglah bagi mereka yang mempunyai suami/isteri yang sudi mahu menetap bersama dengan kedua orang tua anda. Tetapi  itu hal jika anda telah berkahwin. Belum lagi dikira jika ketika zaman belajar anda menetap diasrama dan kolej. Berapa sangatlah masa anda dapat bersama dengan keluarga berbanding dengan hidup berumah tangga.


Kalau kita perhatikan pada hari ini, kebiasaannya pada mereka yang masih lagi belajar, terutama sekali yang tinggal diasrama atau kolej, setiap kali balik rumah adakah mereka akan duduk dirumah tolong ibu bapa sahaja? Sudah tentu bukan semua kerana pasti ada segelintir yang asal balik rumah, lesap keluar dengan kawan-kawan dan kekasih. Jika duduk dirumah pun belum tentu lagi akan tolong ibu bapa. Berbanding dengan mereka yang sudah mula bekerja dan tidak lagi bergantung pada ibu bapa, mereka lebih menghargai jasa ibu dan ayah, terutama anak sulung. 


Saya tertarik dengan satu status rakan difacebook. 
"Ibu dan ayah ni hanya ada satu je di dunia. Bila kita balik cuti semester ni, kita gembirakan lah hati mereka, cuba dengar cakap mereka walaupun memang kite ni kadang2 keras kepala & kuat melawan. Duduk dirumah habiskan masa bersama keluarga. cuba buat sesuatu yang tidak menimbulkan kemarahan mereka. Jangan ikutkan baran sendiri. Orang lain pun ada barannya."


Jika anda adalah anak sulung atau abang/kakak yang mempunyai adik, pasti anda juga faham situasi sebegini. Jadi, bagi mereka yang masih lagi tidak nampak kepentingan cinta terhadap ibu bapa melebihi cinta terhadap kekasih, saya mohon agar sedarlah. Bagi mereka yang masih lagi mempunyai kedua ibu bapa, berbaktilah kepada kedua orang tua anda selagi hayat mereka. Janganlah kita mengejar cinta yang belum pasti, sedangkan cinta kedua ibu bapa terhadap kita sudah pasti. Bagi yang sudah tidak mempunyai ibu dan bapa, berdoalah akan kesejahteraan mereka dan mohonlah kepada Allah agar diampunkan segala dosa-dosa mereka. Seteruk  mana pun kedua ibu bapa kita, mereka tetap ibu bapa kita.


Selagi masih ada masa, ucapkanlah pada ibu bapa anda sayang mereka


Akhir kalam, marilah kita berdoa untuk kedua ibu bapa kita.

رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صَغِيْرًا

 Ya Allah, ampunilah aku dan kedua orang tuaku, serta berilah rahmat kepada kedua-duanya, sebagaimana mereka mendidikku pada waktu kecil. Amin.


P/s: Adakah anda telah mengabaikan cinta terhadap ibu dan bapa?

0 Komen: